Pada 16 Julai 2009, mayat seorang pegawai khas muda ditemui mati, setelah jatuh dari tingkap tingkat 14 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kematian Teoh Beng Hock kemudian menjadi salah satu kes jenayah paling memukau dalam sejarah Malaysia, yang hingga hari ini - tepat 10 tahun sejak kejadian itu - masih tidak dapat diselesaikan.
OlehElroi Yee & Satpal Kaler
Pada hari sebelum kejadian, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan di pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah. Pegawai beliau, seorang lelaki muda bernama Teoh Beng Hock, diminta hadir ke SPRM Selangor untuk siasatan lanjut. Beng Hock akur.
Enam anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang lain dilaporkan disiasat pada masa yang sama, semua merupakan ahli gabungan Pakatan Rakyat.
Rakaman CCTV menunjukkan Beng Hock memasuki bangunan SPRM Selangor pada pukul 6.08 petang.
Sekitar pukul 1 petang, mayat Teoh Beng Hock ditemui di tingkat lima bahagian bumbung Plaza Masalam. Ia disahkan kemudian bahawa mendiang telah jatuh dari tingkap tingkat 14, di mana terletaknya pejabat SPRM Selangor.
Inkues yang ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kematian Teoh Beng Hock bermula, dipimpin oleh koroner Azmil Muntapha Abas. Prosiding berlanjutan selama 17 bulan. Secara umum, dua teori telah diketengahkan - bunuh diri dan dibunuh.
Pada penghujung inkues, koroner menyampaikan keputusan terbuka - bermakna kesimpulan mengenai punca kematian tidak dapat dicapai. Keputusan itu mendapat bantahan awam, menggesa keluarga dan penyokong Beng Hock untuk memohon semakan semula di Mahkamah Tinggi dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bahawa RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian Beng Hock. Namun begitu, dalam tempoh beberapa minggu, kerajaan Selangor dan keluarga Beng Hock menarik diri dari RCI, mendakwa mereka tidak berpuas hati dengan pelaksanaannya.
RCI menyimpulkan bahawa Beng Hock "terdorong untuk membunuh diri" akibat daripada kaedah soal siasat agresif yang dilakukan oleh pegawai SPRM. Ia menamakan tiga orang pegawai yang memainkan peranan dalam kematiannya: Hishamuddin Hashim, dan pegawai rendahnya, Mohamad Anuar Ismail dan Ashraf Mohd Yunus.
Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan inkues memutuskan bahawa kematian Beng Hock disebabkan oleh "seseorang atau orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.”
Keputusan itu mengesyorkan pihak polis untuk membuka semula siasatan.
SPRM bersetuju untuk penyelesaian di luar mahkamah bagi saman sivil yang difailkan keluarga Beng Hock, memohon ganti rugi kerana kecuaian atas kematiannya. SPRM akan membayar ganti rugi RM600,000, bersama kos RM60,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Nancy Shukri berkata dalam jawapan bertulis di parlimen bahawa penyiasatan semula polis terhadap kes di bawah bidang kuasa Peguam Negara mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh pegawai SPRM dalam kes kematian Teoh Beng Hock.
Setelah berlakunya pertukaran kerajaan berikutan pilihan raya umum ke-14 Malaysia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet menyetujui keputusan untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock.
Pada pagi Ahad yang tenang di Melaka, keluarga Teoh sedang memasak aneka masakan - penuh dengan hidangan kegemaran Beng Hock. "Sudah lama tidak menziarahinya, jadi saya merancang untuk masak sesuatu yang ringkas, untuk dibawa ke tokong dan berdoa untuknya," jelas Madam Teoh, ibu Beng Hock.
Hidangannya jauh daripada ringkas. Rendang ayam, kuih pulut tekan, sup ayam sayur campur dan sambal udang masak tomato. Kegemarannya, kata Madam Teoh. Aroma cili dan rempah-ratus harum semerbak di seluruh rumah setingkat serba sederhana itu. Bunyi memotong, mencincang, menggoreng, mendidih, perbualan dalam dialek Hokkien. Aroma dan bunyi sebuah keluarga.
Adik perempuan Beng Hock, Lee Lan, yang sarat mengandung enam bulan, baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur malam tadi. Dia kelihatan letih tapi tetap duduk di meja bulat dapur, berbual ringkas bersama ibunya sambil mengupas bawang.
"Mengikut Kalendar Lunar Cina, tak lama lagi ulang tahun kematiannya," jelas Lee Lan mengenai aktiviti hari ini. "Memandangkan seluruh keluarga ada di sini, kami bercadang untuk menziarahinya."
Dinding kosong dihiasi dengan foto keluarga yang berdekad-dekad lamanya. Di sudut sebuah meja rendah, potret Beng Hock terpacak di sebelah beberapa lencana yang bertulis "Keadilan untuk Beng Hock."
"Apakah kenangan Beng Hock yang paling tidak dapat dilupai?" tanya kami. "Dia hubungi saya dua hari sebelum kejadian," kata Madam Teoh, mengenang kembali ingatan 10 tahun lalu. "Dia berjanji akan pulang ke Melaka hujung minggu itu, sesibuk mana sekalipun, dia akan pulang. Dia akan mengambil gambar perkahwinan, dan minggu berikutnya, mendaftar perkahwinannya."
Kenapa ia tidak dapat dilupai?
"Kerana dia tidak pulang-pulang."
"Dia seorang yang jika tersilap kata, akan terus meminta maaf. Dia tidak akan membiarkannya begitu saja, "kata Lee Lan. "Dia amat tulus, jujur, tapi tidak bercakap banyak. Dia sangat pendiam jika anda tidak mengenalinya dengan baik. "
Ramai yang bekerja dengan Beng Hock, menggambarkan mendiang sebagai seorang yang berprinsip, jujur dan idealistik. Bukan suatu kejutan buat mereka yang mengenalinya apabila Beng Hock berhenti kerja sebagai wartawan untuk menceburi bidang politik, hangat menginjak Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan gabungan parti pembangkang iaitu Pakatan Rakyat mendapat kemenangan besar. Lima negeri, termasuk Selangor, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, manakala Barisan Nasional yang menjadi penyandang kerusi gagal memperoleh majoriti dua pertiga buat kali pertama sejak tahun 1969.
"Saya masih ingat suaranya memberitahu saya 'Langit dah berubah, langit dah berubah! Kami ada harapan sekarang!!'”, ajuk Lee Lan. "Dia sangat teruja. Katanya, 'oh sebab ini kali pertama dalam sejarah. Tiada siapa yang sangka ia akan berlaku. Kemudian ia benar-benar berlaku," kata Lee Lan.
Menjelang tahun 2009, genap setahun mendiang menjawat tugas baharu sebagai setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.
"Kami (sekeluarga) sangat risau. Kami sudah memberitahu jangan terima tugas itu tapi dia tetap berkeras. Katanya dia akan bekerja dengan kerajaan negeri, jadi tiada sebab untuk berasa takut. "
Tiba malam, keluarga ini mengenal pasti tubuh Beng Hock yang tidak bernyawa.
Sekitar pukul 1 petang, mayat Beng Hock ditemui oleh tukang cuci di Plaza Masalam. Dalam masa beberapa jam, berita mula tersebar berkenaan kematian di bangunan itu. Bangunan itu ditutup dan kemasukan dihadkan.
Beberapa jam selepas itu, barulah keluarganya diberitahu.Apabila Lee Lan tiba bersama abangnya, Beng Kee, serta tunang Beng Hock, Cher Wei lewat petang itu, mereka sudahpun bersedia menghadapi segala kemungkinan.
"Seluruh tingkat itu sangat gelap, lampu pula berkelip-kelip," katanya sambil menggambarkan tempat kejadian di tingkat lima, di mana jatuhnya mayat Beng Hock.
“"Polis mengawasi badannya. Mereka hanya membenarkan salah seorang daripada kami untuk pergi dan mengecam, jadi abang saya yang pergi. " Dia masih ingat menunggu dengan cemas, memeluk Cher Wei, menunggu Beng Kee untuk pulang. Di sekelilingnya, ramai yang sudah menangis. Dalam hati, dia tidak putus-putus berharap bahawa abangnya masih hidup, atau dia sama sekali bukan Beng Hock.
"Anda tak boleh bayang bagaimana seseorang itu boleh terus pergi. Dia masih hidup kali terakhir anda berjumpa dengannya, tapi hari berikutnya dia terlantar di situ, mati. Apa lagi yang boleh dikata? Menangis sajalah jawapannya.”
Hari berlabuh senja, kelihatan sekumpulan kecil berhimpun di tapak bangunan, memegang lilin dan mengadakan protes senyap. Pagi keesokan harinya, kumpulan kecil itu berkembang menjadi ratusan, yang mengikutinya termasuklah ahli politik terkenal seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, dan protes itu tidak lagi senyap.
"Ia dilabelkan sebagai kematian berunsur politik pertama di Malaysia," kata Tricia Yeoh, ketika itu seorang pegawai di pejabat Menteri Besar Selangor, yang kemudiannya menghasilkan sebuah filem berkenaan kes ini. "Kes kematian dalam tahanan itu sentiasa ada, tapi ini kali pertama melibatkan siasatan politik yang sedang berjalan."
"Satu malam saja, saya rasa seolah-olah saya dah matang," kata Lee Lan. "Saya tak sangka pihak polis, pakar forensik, Peguam Negara langsung tidak profesional.”
Inkues koroner diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Najib Razak. Inkues koroner biasanya diadakan dalam kes-kes di mana punca kematian bagi kes adalah demi kepentingan awam.
"Ia diadakan secara terbuka yang membenarkan kebimbangan orang awam untuk akauntabiliti dititikberatkan," kata Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan Selangor ketika inkues sedang berjalan.
Malik dan Yeoh kedua-duanya bersetuju bahawa pihak berkuasa sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik.
"Beg Beng Hock dialihkan dari kedudukan asal. Cukup jelas terdapat - sama ada sengaja atau tidak - gangguan pada bukti," kata Malik Imtiaz.
Kemudian ada pula situasi di mana peguam yang mewakili SPRM mencadangkan bahawa Teoh Beng Hock telah mencekik dirinya sendiri. Dia diketawakan di mahkamah.
Seperti maksudnya, inkues mula mendedahkan kejadian yang berlaku pada malam itu.
Badan Beng Hock mengalami kecederaan pada bahagian leher dan dua ahli patologi yang memberi keterangan mengenai inkuesnya berpendapat bahawa ia akibat trauma tumpul, ketika Beng Hock masih hidup. Dr Shahidan Noor, salah seorang pakar patologi, menyatakan bahawa kecederaan sebegitu boleh membawa kepada hilang kesedaran – mengetepikan kemungkinan bunuh diri sebagai punca kematian.
Walau bagaimanapun, setahun selepas inkues, satu nota misteri tiba-tiba muncul. Peguam SPRM mengemukakan nota ini sebagai "nota bunuh diri".
Kemudian, seorang saksi memberi keterangan bahawa dia telah disoal siasat dengan cara yang kasar oleh SPRM semasa di bawah tahanan mereka. Dia menamakan Hishamuddin Hashim, salah seorang pegawai yang terlibat dalam kes Beng Hock.
"Dia mendakwa telah dipukul dengan teruk oleh pegawai SPRM, dan ditunjukkan tingkap sebagai alat ugutan," kata Malik Imtiaz. "Persoalannya ialah adakah ia memadai untuk menyimpulkan bahawa ini adalah normal di SPRM."
Soalan itu tidak akan terjawab. Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan keputusan terbuka - bermakna berdasarkan bukti yang dikemukakan, dia tidak dapat mengenal pasti punca kematian.
"Koroner menolak kemungkinan kemalangan dan bunuh diri, tetapi dia tidak menyebut angkara dibunuh dan itu membawa kepada keputusan terbuka," kata Malik Imtiaz.
Keputusan itu menambahkan lagi kecelaruan keluarga itu. Video Lee Lan yang masih muda, menghadapi sidang akhbar setelah keputusan diumumkan, berteriak demi keadilan untuk abangnya, bakal menjadi salah satu imej yang kekal dalam kes ini.
Tidak lama selepas itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diumumkan, tetapi dalam masa beberapa hari, keluarga Teoh menarik diri dari RCI, walaupun mereka telah memohon untuknya sejak awal.
“Kami tidak puas hati bahawa timbalan pendakwa raya awam adalah sebahagian daripada suruhanjaya (sebagai pegawai). Ini jelas menunjukkan RCI berat sebelah dari mula," kata Lee Lan. "Ini keputusan yang sangat berat, kerana kami telah cuba pelbagai cara, kami telah cuba yang terbaik, kami menjelajah seluruh Malaysia untuk mendapatkan seratus ribu tandatangan untuk menyokong pertubuhan RCI, tetapi akhirnya kami terpaksa menarik diri.”
Tambahan lagi, RCI pada asasnya merupakan tugasan yang mencari fakta, dan tidak mempunyai kesan terhadap prosiding undang-undang yang telahpun ditetapkan melalui inkues koroner.
Sebaliknya, keluarga ini menunggu untuk RCI membuat keputusan sebelum memohon semakan semula di Mahkamah Tinggi berkenaan keputusan inkues. Apabila permohonan itu ditolak, keluarga ini memfailkan satu lagi semakan semula di Mahkamah Rayuan.
Dalam keputusan penting pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan penemuan inkues itu. Lima tahun setelah kematian Beng Hock, peluang untuk penilaian semula akhirnya seakan muncul semula. Tiga hakim yang bersidang sebulat suara mendapati kematian Beng Hock "disebabkan oleh pelbagai kecederaan akibat jatuh ...akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM".
Malah Hakim Hamid Sultan Abu Backer dalam penghakimannya terang-terangan mengarahkan Pejabat Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk menyiasat semula dan menahan mereka yang bertanggungjawab.
"(Hakim) pada dasarnya berkata, dan ini dipersetujui oleh hakim-hakim yang lain juga, bahawa terdapat permainan kotor yang terlibat dalam kematian Teoh Beng Hock. Dan mungkin ianya hasil kerja pegawai SPRM," kata Ramkarpal Singh, peguam undang-undang semasa bagi keluarga Teoh. "Dan saya rasa anda tak boleh abaikan sesuatu seperti ini, kerana ia datang dari mahkamah kedua tertinggi di tanah air ini, Mahkamah Rayuan."
Pada asasnya, Mahkamah Rayuan memberitahu koroner bahawa keputusan terbuka itu suatu kesilapan. Bahawa punca kematian Beng Hock, berdasarkan bukti yang dikemukakan, mungkin pembunuhan.
Empat tahun telah berlalu sebelum Lee Lan mendengar siasatan baharu berkenaan kematian Beng Hock. Pada masa itu, kerajaan sudahpun bertukar tangan. Ramai bekas rakan sekerja Beng Hock kini menjawat kedudukan tinggi. Peguam Negara baharu, Ketua Polis Negara baharu, dan, baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu juga telah dilantik.
Tetapi apabila siasatan akhirnya dibuka semula, ia hanya menambahkan keperitan kepada keluarga Teoh.
"Mereka berkata mereka akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan, dan apabila kami menyemaknya, kami mendapat tahu bahawa ia berkaitan dengan pengurungan secara salah," kata Lee Lan.
Kami bercakap dengannya di tingkat 14 Plaza Masalam, kini terbiar tanpa penghuni. Ini adalah kali pertama dia melihat ke luar tingkap di mana jatuhnya Beng Hock.
"Pegawai itu memberitahu saya dengan jujur bahawa mereka langsung tidak melihat sebarang laporan, keputusan mahkamah rayuan, dokumen mahkamah ataupun laporan-laporan pakar patologi. Mereka hanya menerima arahan untuk membuka semula kes itu di bawah Seksyen 342."
Lee Lan berhenti sejenak untuk bernafas. Matanya berkaca, kekecewaannya jelas terasa. "Mengapa kes Beng Hock, yang penuh dengan bukti, dan telah dihukum sebagai kes bunuh, masih disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 342?
"Pengkelasan semula ini (berkenaan siasatan) tidak sepadan. Ia tidak bersesuaian dengan kesalahan itu," kata Ramkarpal, ketika kami bertemu dengannya di sebuah acara penyalaan lilin yang dianjurkan oleh Teoh Beng Hock Trust for Democracy di luar Plaza Masalam.
"Keputusan Mahkamah Rayuan mengatakan bahawa dia secara konstruktif di bawah tahanan, jadi ini (pengurungannya) bukanlah suatu isu. Isunya adalah sama ada ianya kes bunuh atau pembunuhan kejam. Pendapat Mahkamah Rayuan adalah wujudnya permainan kotor."
"Mereka boleh meneruskan pengkelasan semula itu tapi ia tidak akan berhenti di sini. Ia harus bergerak lebih jauh daripada itu."
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditanya mengenai perkara ini ketika sidang akhbarnya beberapa minggu lalu, dan jawapannya dikritik dengan meluas kerana menyifatkan keluarga itu sebagai terlalu meminta.
"Kes ini sudah selesai bertahun lamanya. Maklumat disampaikan dan hampir semua proses undang-undang dilalui. Sudah ada pembentukan suruhanjaya, bayar pampasan," katanya.
"Jika di sudut itu, sudah tidak ada isu lagi. Keluarga tidak puas hati walaupun sudah menerima bayaran pampasan, mereka tuntut lagi. Saya fikir perkara ini terletak di bawah bidang kuasa peguam negara. Saya tidak pakar dari segi undang-undang. Saya serah kepada peguam negara untuk buat keputusan sewajarnya."
Muhyiddin membalas kritikan itu dengan mendakwa bahawa beliau telah disalah tafsir dan menegaskan bahawa perkara itu kini di tangan Peguam Negara.
Kami telah menghubungi Pejabat Peguam Negara untuk ulasan lanjut tetapi diberi maklum balas untuk menunggu kenyataan media. Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu iaitu Latheefa Koya menolak permohonan wawancara.
Di Tokong Seck Kia Eenh yang terletak di pusat bandar Melaka, berhampiran rumah keluarga Teoh melalui kereta, hidangan disajikan dengan teliti. Ayat-ayat suci Buddha berderu perlahan daripada pembesar suara kecil di atas tiang tokong. Asap kayu setanggi dan kemenyan menerawang di udara.
Bunyi dan bau kehilangan.
Keluarga ini berkumpul bersama dan berdoa mengikut giliran. Abang Beng Hock mendukung anaknya dan mengajar cara untuk berdoa. Dengan lembut dia membisikkan arahan di telinga anaknya, sambil menjelaskan kepentingan untuk berdoa.
Sebuah foto kecil Beng Hock, yang dimuatkan dalam bingkai, memandang suasana.
Kami mencuri lihat Madam Teoh menatap foto itu dengan sangat lama. "Kenapa seseorang itu boleh terus hilang? Saya mahu tanya kenapa, apa sebabnya, mengapa dia meninggal dunia? Apa yang berlaku?" katanya kemudian, setelah kami menanyakan perihal isi hatinya. "Tanyalah sebanyak mungkin, dia tidak akan menjawab. Jadi saya hanya mampu menatap."
"Saya beritahu Beng Hock, sepuluh tahun sudah berlalu, dan kami masih menanti jawapan," kata Lee Lan, melawan air mata yang bergenang. "Saya mohon agar dia tetap berusaha, membantu kami mencari pembunuh sebenar.
"Saya beritahu dia semua bekas rakan sekerja, yang berjuang bersamanya untuk bertahun lamanya, kini memegang kuasa. Sudah setahun mereka bekerja dalam kerajaan.
"Saya harap kita tak perlu menunggu sembilan tahun lagi untuk mendapatkan jawapan."
"Keluarga ini berhak mendapat penutupan, tetapi lebih daripada itu, kita (sebagai masyarakat) memerlukan kebenaran dan kedamaian supaya kita dapat bersatu dan melihat cara terbaik untuk terus bergerak maju," kata Malik Imtiaz.
"Agensi-agensi ini tidak berkhidmat kepada kerajaan hari ini, mereka berkhidmat kepada rakyat. Ketelusan dan akauntabiliti - begitulah cara agensi-agensi ini berfungsi. Kebebasan asasi dan hak asasi manusia perlu diberi, ditegaskan, walaupun berhadapan dengan pihak berkuasa."
Kematian Beng Hock telah menjadi ujian kepada institusi-institusi demokrasi Malaysia, ujian yang setakat ini kelihatan gagal di mata orang ramai. Tetapi harapan masih ada.
"Saya percaya kes ini dapat diselesaikan," kata Yeoh. "Jika orang yang berkenaan didakwa, mereka akan bersuara. Semua pegawai yang terlibat atau mengetahui hal sebenar masih ada, tidak kira di bawah SPRM atau sebaliknya."
"Apa yang kita perlu ialah memanggil orang-orang ini, bertanya tentang apa yang mereka tahu."
"Ini bukan lagi persoalan tentang bukti forensik," kata Malik Imtiaz. "Hakikat bahawa dia jatuh dari tingkap itu kukuh. Kecederaan, juga kukuh. Faktor manusia tentang kejadian sebenar malam itulah yang perlu disiasat dengan lebih mendalam."
Penjenayah masih di luar sana, begitu juga dengan saksinya.
Mereka memegang jawapan, dan kita sebagai masyarakat perlu mencari mereka.