Pembalakan dan pembangunan memusnahkan hutan yang mereka anggap sebagai rumah sendiri, dan tiada siapa memberi perhatian yang sewajarnya kepada mereka. Meskipun begitu, masyarakat Orang Asli ini berusaha untuk memastikan suara mereka didengari.

Baca kisah mereka.

Pembalakan dan pembangunan memusnahkan hutan yang mereka anggap sebagai rumah sendiri, dan tiada siapa memberi perhatian yang sewajarnya kepada mereka. Meskipun begitu, masyarakat Orang Asli ini berusaha untuk memastikan suara mereka didengari.

Baca kisah mereka.
Rencana oleh Anjang Aluej, Elroi Yee, Johari Aluej, Puah Sze Ning, Ramli Aluej, Said Jali, Zainal Alang dan Zulkifli Apoq

Rekaan laman sesawang oleh Husna Ab Rahman dan Yasmin Zulhaime

Terjemahan Bahasa Melayu oleh Huda Ab Rahman

Bunyi pembalakan

Sungai yang dinamakan Ong Laba ini dulu tempat memancing, kata Said. Dia tahu kerana dia biasa memancing di situ, di suatu sudut yang sungainya mengalir berdekatan dengan kampungnya iaitu Kampung Ong Jangking, sebuah penempatan Orang Asli dalam hutan di utara Semenanjung Malaysia.

Suatu ketika dahulu, sungai ini mengalir deras mengelilingi batu-batu besar yang memantulkan sinar matahari di sebalik pohonan rimbun.

Kawasan yang sesuai untuk mencari rezeki, atau bermandi-manda.

Kini sungai itu semakin cetek, tebingnya tebal dengan mendapan merah kesan daripada kegiatan pembalakan, ia petanda bahawa tanah liat berwarna merah yang dibawah lapisan permukaan tanah telah digodak. Di tebing sungai, di kawasan yang tanahnya melereng naik memasuki hutan sekunder dan berjumpa dengan jalan pembalakan, tanah merah yang sama juga melapisi akar pokok dan batu.

"Semasa dia hujan, lumpur dari jalan balak atas sana, dia mengalir ke dalam sungai," kata Said.

"Tengok, kamu boleh lihat."
Said, Orang Asli dari Kampung Ong Jangking, berdiri di tebing Sungai Ong Laba, kini tebal dengan mendapan yang berpunca daripada jalan pembalakan berdekatan. Gambar oleh Elroi Yee.

Dia mencucuk jarinya ke dalam mendapan. Warnanya kemerah-merahan, likat seperti lumpur, dan langsung tidak menyerupai batu kerikil berwarna kelabu mahupun pasir yang biasa ditemui di sungai-sungai lain. "Semua dah habis," kata Said.

Dia mengeluarkan telefon bimbit lantas mengambil beberapa keping gambar, merakam kerosakan di hadapan mata. Di kawasan yang jauh terpisah dari pusat bandar, masyarakat Orang Asli seperti penduduk Kampung Ong Jangking tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat kisah mereka diberi perhatian.

Tetapi wartawan awam seperti Said cekal dalam memastikan kisah mereka diceritakan.

Tiba-tiba, Said terdiam. Di sebalik pohonan rimbun, bunyi mesin jentera mengganggu keheningan hutan. Semakin lama semakin bingit, nyaring dan dekat. Said tekun mendengarnya, hampir terkesima.

"Itulah dia, satu lagi santaiwong dah lalu."

Jalan yang sering digunakan

Bagi masyarakat Orang Asli yang masih tinggal di hutan Semenanjung Malaysia, sungai bersih dan keadaan hutan yang sihat bukan sahaja indah di mata, tetapi memenuhi keperluan asas – makanan, air, bahan pembinaan, sanitasi malahan kerohanian. Banyak upacara ritual mereka menggunakan tumbuhan tertentu yang diambil dari persekitaran.

Hutan atau sungai yang rosak, bermakna sebahagian daripada hidup mereka juga terjejas.

Jadi, pada tahun 2019, apabila pembalakan dijalankan semula di kawasan sekitar Kampung Ong Jangking, Orang Asli sudahpun tahu apa yang bakal dipertaruhkan. Ini bukan kali pertama tanah itu berhadapan dengan pembalakan.

Orang Asli boleh menunjukkan jalan-jalan pembalakan lama dan mengingati kisahnya. Laluan lumpur berwarna merah ini memusnahkan segala yang berada di hadapannya.
Kanak-kanak Orang Asli bermain di sepanjang jalan pembalakan lama berhampiran kampung mereka. Jalan-jalan ini kekal tandus, walaupun kegiatan pembalakan sudah bertahun-tahun dihentikan. Gambar oleh Elroi Yee.

Di satu sudut, Said menunjukkan sebuah sungai yang pernah mengalir suatu masa dahulu. Oleh kerana jalan pembalakan perlu melintasinya, sebuah jambatan kasar dibina dengan membuang kayu-kayu balak dan sisa tanah ke dalam arus sungai, sehinggalah arus itu tidak kelihatan lagi.

Orang Asli terpaksa menggali parit di keliling jambatan, supaya airnya tidak bertakung.

Hari ini, timbunan kayu balak dan sisa tanah masih di situ, walaupun bertahun sudah berlalu sejak jalan itu terakhir digunakan untuk membawa santaiwong yang dikenali ramai – lori-lori bising dan berat yang sepertinya hanya wujud dalam novel distopia. Bunyi deruman enjin dan asap tebal dari ekzos terapung di udara saat mereka merentasi jalan pembalakan menuju ke hutan, kemudian pulang bersama longgokan kayu balak setebal tayar santaiwong, diimbangi di atas pengangkutan.

Yang tinggal hanyalah tanah merah.

Sekatan 2019

Berhadapan dengan kemusnahan alam sekitar yang tidak dapat diperbaiki, Orang Asli memutuskan untuk berdiri mempertahankan hak sendiri, dan ia dilakukan di atas jalan pembalakan, berdekatan dengan Sungai Ong Laba, hampir dalam pandangan mata. Di sana, mereka membina sekatan yang diperbuat daripada dahan dan ranting kayu yang agak kebudak-budakan berbanding santaiwong yang berbadankan keluli dan diesel.

Sekatan itu tidak mampu melumpuhkan mesin jentera, lalu Orang Asli, termasuklah wanita dan kanak-kanak, bangun menghalangnya dengan tubuh sendiri.
Dua wanita Orang Asli berhadapan dengan jentolak semasa sekatan 2019 sebagai protes terhadap kenderaan pembalakan yang melintasi tanah adat mereka. Gambar oleh Johari Aluej.

Mereka menghadapi mesin-mesin ini dengan berpakaian tradisional kebanggaan mereka – hiasan kepala anyaman daun, gelang dan rantai manik benih, wajah yang dicalitkan cat merah dan putih.

Simbol-simbol identiti Orang Asli ini, kini disemat menjadi simbol untuk menentang.

Penduduk kampung berhampiran juga datang meminjamkan tubuh mereka untuk menjayakan sekatan manusia ini, ramai daripada mereka sedang memprotes pencerobohan di kampung mereka sendiri.

Pertikaian utama dalam pertelingkahan ini adalah sama ada tanah tersebut adalah hak milik Orang Asli. Hutan-hutan di kawasan itu telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Air Chepam pada tahun 1992. Di Malaysia, hutan simpan boleh dikhaskan untuk pengeluaran balak. Tetapi Orang Asli sudah lama menetap dan mencari hasil di hutan-hutan yang sama ini, dan mendakwa ianya sebahagian daripada tanah adat mereka.

Sekatan itu berlarutan selama beberapa hari. Pada mulanya, pegawai-pegawai melintasi sekatan yang dibuat untuk meredakan Orang Asli. Namun semakin lama, semakin jelas garis pertempuran mereka. Orang Asli mahukan hutan mereka dilindungi, tetapi pembalak dan pegawai agensi daerah pula mahukan undang-undang dikuatkuasakan.

Bahkan JAKOA, Jabatan Kemajuan Orang Asli, sebuah agensi negeri yang ditugaskan untuk memajukan masyarakat Orang Asli di Malaysia, berdiri di sisi pembalak.

Mesin jentera tidak berupaya memecahkan sekatan, namun kuasa manusia membuktikan sebaliknya. Pegawai dari jabatan perhutanan negeri, polis dan agensi kerajaan lain menyuraikan penunjuk perasaan, dan menahan enam Orang Asli, dalam dua kejadian berasingan.

Penunjuk perasaan digari, sekatan digergaji.

Kelibat wartawan langsung tidak kelihatan, mungkin kerana kisah ini jauh dari hiruk-pikuk kawasan jalan konkrit. Tetapi Orang Asli tetap merakam dan mengambil gambar dan seraya menghantarnya kepada para aktivis, yang kemudian meraih perhatian media, sekaligus membawa kepada campur tangan seorang menteri persekutuan yang menggesa agar Orang Asli yang ditahan dibebaskan.

Selepas itu, kegiatan pembalakan berhenti. Suatu kemenangan buat sebuah kampung kecil yang hanya didiami lebih kurang 20 buah keluarga.

Namun penangguhan itu cuma sementara. Pada bulan Jun 2020, sejurus selepas kawalan pergerakan COVID-19 ditamatkan, jentera pembalakan muncul semula.

Bantahan baru, 2020

Sebelum fajar menyingsing, penduduk Kampung Ong Jangking sudahpun bangkit. Dalam keadaan yang gelap-gelita, lampu suluh dilihat menyilau keluar melalui celah-celah dinding buluh.

Seorang lelaki pergi menadah air dari sungai berdekatan. Dua wanita mula menyediakan sarapan pagi.

Anjang, salah seorang ketua masyarakat, memanggil wakil rumah-rumah di penghujung kampung. "Saya menjemput mereka pergi jaga blockade," katanya. Anjang seperti jurucakap kampung, salah seorang daripada sebilangan kecil, yang menamatkan pengajian sekolah menengah, dan sering mengepalai aktiviti komunal apabila diperlukan.

Golongan wanita tiba berbekalkan minuman kopi dan teh, serta meehoon goreng.

Sarapan pagi panas menemani perbualan lelaki-lelaki ini di pagi yang dingin, dalam pondok buluh yang juga merupakan dewan masyarakat mereka.
Tiga lelaki dari Kampung Ong Jangking menikmati sarapan pagi ringkas sebelum keluar merakam kenderaan pembalakan yang menceroboh tanah yang dianggap sebagai tanah adat. Gambar oleh Elroi Yee.

Tetapi sebelum sempat juadah dihabiskan, deruman santaiwong kedengaran dari jauh, dan serta-merta para lelaki ini bergegas ke arahnya. Wartawan kampung, sedia untuk membuat laporan.

Sejak kembalinya kenderaan pembalakan pada bulan Jun 2020, inilah rutin mereka. Setiap pagi, mereka akan bersembunyi berhampiran sekatan dan mengambil gambar serta video wakil-wakil syarikat pembalakan meruntuhkan sekatan.

Kemudian mereka merakam perarakan santaiwong yang keluar masuk dari hutan, membawa muatan kayu balak yang besar. Dalam buku notanya, Anjang menyenaraikan masa dan deskripsi bagi setiap kenderaan, manakala yang lain mengambil gambar dan video.

Walaupun sekatan dibina di tempat sama yang telah mereka lakukan protes pada tahun 2019, mereka menggunakan strategi berbeza, sebagai persediaan untuk berlawan di mahkamah demi mengesahkan tuntutan tanah adat mereka.

Mereka tidak berhadapan dengan syarikat pembalakan, sebaliknya mendokumentasikan bagaimana syarikat itu mengabaikan bantahan Orang Asli.

Dalam kes-kes terdahulu, mahkamah Malaysia telah memutuskan, berdasarkan prinsip common law (undang-undang am) dan Perlembagaan Persekutuan, bahawa Orang Asli berhak mendapat hak pemilikan ke atas tanah pusaka mereka, jika mereka dapat membuktikan kesahihan tuntutan mereka di mahkamah.

Dalam hal ini, kawalan yang berterusan terhadap tanah adalah penting. Jika anda percaya anda adalah tuan tanah yang sebenar, anda juga pasti akan mempertahankannya.

Gambar dan video syarikat pembalakan meruntuhkan sekatan menjadi bukti bahawa syarikat secara terbuka tidak mengendahkan kawalan Orang Asli ke atas kawasan terbabit.

Dalam kes-kes terdahulu, kawalan terhadap sesuatu kawasan pernah dijadikan bukti dan berjaya memberi kemenangan kepada Orang Asli dalam usaha menuntut tanah adat di mahkamah.

Hari ini, Anjang mengintip di sebalik dedaunan lebat, lokasinya hampir tepat di atas lori yang melintas, di atas bukit yang ditarah demi pembinaan jalan pembalakan. Intipan Said pula di seberang jalan, di atas bukit bersebelahan. Tidak perlu untuk bersembunyi, tetapi penangkapan yang dibuat ketika sekatan 2019, dan rampasan telefon bimbit dan motosikal mereka oleh pihak berkuasa masih segar di ingatan, dan mereka lebih selesa jika perkara yang sama tidak berulang lagi.

Setiap kali mereka dengar bunyi santaiwong, mereka akan saling bersahutan. Telefon bimbit diikat pada tripod buatan ranting pokok, dan sekelip mata mereka hilang di sebalik semak.

Said telah menampal sehelai daun di hadapan telefonnya sebagai samaran tambahan. Anjang pula bersedia dengan buku nota dan pennya.

Di antara mereka, di atas jalur tanah merah itu, santaiwong mengaum laju - berdentum, berdesis, berderum, menggoncangkan tanah merah.
Santaiwong – istilah tempatan untuk lori pembalakan - dirakam oleh wartawan awam melintasi tanah yang mereka katakan adalah tanah adat mereka.

Kemudian bunyi damai hutan kembali, sehinggalah lori seterusnya berlalu pergi. Petang itu, setelah pembalak selesai membuat kerja, Orang Asli membina semula sekatan mereka.

Klik untuk baca esei bergambar

×

Membina sekatan

Pada bulan Julai 2020, sejurus selepas perintah kawalan pergerakan COVID-19 ditamatkan, kegiatan pembalakan dijalankan semula di hutan-hutan berdekatan penempatan Orang Asli di Kampung Ong Jangking dan Kampung Sungai Papan.

Sebagai respons, Orang Asli membina sekatan di jalan pembalakan, untuk memprotes penebangan hutan dan mempertahankan hak milik tanah adat mereka. Mereka melakukan perkara yang sama apabila aktiviti penebangan mencerobohi tanah adat mereka pada tahun 2019.

Gambar-gambar ini diambil dari bulan Ogos hingga September 2020, dan menunjukkan bagaimana Orang Asli berulang kali membina sekatan demi menyatakan bantahan mereka.

Gambar dan kapsyen oleh Puah Sze Ning dan Elroi Yee

Hampir setiap hari sebelum fajar, Orang Asli berjalan sekitar 1km ke tapak sekatan, untuk membina sekatan sebagai tanda protes terhadap pembalakan. Kadangkala kanak-kanak turut serta untuk memberi bantuan.

Ironinya, mereka berjalan ke sana melalui jalan pembalakan lama. Jalan ini menjadi bukti kepada kesan pembalakan terhadap alam sekitar – kekal tandus walaupun sudah bertahun ditinggalkan. Sepanjang perjalanan, kelihatan sungai-sungai yang tertimbus dengan jambatan pembalakan yang runtuh.

Para pakar mengatakan 70% daripada kerosakan alam sekitar yang disebabkan oleh pembalakan berpunca daripada jalan pembalakan, terutama apabila ia bertembung dengan sungai.

Dalam perjalanan, lelaki-lelaki ini mengumpul dahan-dahan kayu yang akan digunakan untuk membina sekatan.

Setiap seorang mengumpulkan sebanyak yang mampu di atas bahu.

Sebelum sampai ke tapak sekatan, mereka melewati Sungai Ong Laba.

Sungai ini pernah menjadi kawasan menangkap ikan dan kura-kura untuk dijadikan makanan, atau bermandi-manda. Namun sejak pembalakan dijalankan di hulu sungai, air bertukar keruh dan cetek, kemungkinan berpunca daripada mendapan akibat kegiatan pembalakan.

Sejak beberapa bulan lalu, Orang Asli telah mengumpulkan gambar, video dan bukti geospatial untuk menunjukkan kesan pembalakan terhadap alam sekitar.

Di tapak sekatan, kerja dilakukan dengan pantas. Dahan-dahan kayu dihunus ke dalam tanah dan diperkukuh dengan utasan rotan.

Mereka sudah biasa dengan tugas ini sehinggakan semuanya selesai tanpa perlu berkata-kata, dalam tempoh setengah jam.

Mereka mula membina sekatan pada bulan Julai 2019, untuk menghalang kemasukan kenderaan pembalakan. Kebuntuan akhirnya membawa kepada penghentian kegiatan pembalakan.

Namun begitu, pada bulan Julai 2020, sejurus selepas perintah kawalan pergerakan COVID-19 ditamatkan, kegiatan pembalakan dijalankan semula, dan Orang Asli membina sekatan mereka sekali lagi.

Setelah sekatan siap dibina, komuniti ini mendokumentasikan bagaimana syarikat pembalakan berulang kali meruntuhkan sekatan, mengabaikan kawalan mereka terhadap tanah.

Sementara komuniti ini mengambil langkah untuk mengesahkan hak tanah adat mereka di mahkamah, bukti kawalan berterusan mereka terhadap tanah boleh mengubah keputusan mahkamah untuk memihak kepada mereka.

Di sini, salah seorang Orang Asli menetapkan tempat meninjau, dengan tripod buatan ranting pokok untuk menstabilkan kamera telefon pintar miliknya.

Orang Asli bersembunyi di sebalik semak berdekatan dengan tapak sekatan, untuk mengambil gambar dan video syarikat pembalakan merobohkan sekatan mereka, dan mencatat bilangan kenderaan, penumpang, serta kayu balak yang berlalu pergi.

Terletak jauh dari pusat bandar, masyarakat Orang Asli tidak menerima perhatian besar daripada media arus perdana. Walau bagaimanapun, bukti yang telah mereka kumpulkan mengisi jurang yang ada.

Komuniti ini menyokong mereka yang memantau sekatan dengan menghantar makanan serta minuman. Gambar menunjukkan air kopi, diberi kepada mereka dalam botol minyak masak yang diguna semula.

Hari itu, mereka juga dibekalkan air teh dan meehoon goreng.

Kakitangan syarikat pembalakan merobohkan sekatan setiap kali melintasi jalan, menunjukkan bahawa mereka sengaja tidak mengendahkan bantahan Orang Asli.

Hutan-hutan di Perak disahkan oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sebagai hutan di bawah pengurusan lestari.

Piawaian-piawaian ini termasuklah memastikan persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum daripada masyarakat tempatan didapatkan sebelum kegiatan pembalakan dijalankan.

Walaupun terdapat bantahan jelas dari Kampung Ong Jangking dan penempatan Orang Asli lain sejak tahun 2018, pensijilan MTCC Perak tetap diperbaharui pada bulan Julai 2019.

Salah seorang wartawan awam Orang Asli keluar dari tempat meninjau dan bersedia untuk membina sekatan mereka semula.

Pembalakan menjejaskan persekitaran, yang merupakan sumber keperluan asas bagi masyarakat Orang Asli, seperti makanan, air dan bahan pembinaan. Tetapi terdapat kesan yang lebih mendalam.

"Semestinya, persekitaran terjejas, tetapi kesan yang lebih mendalam terhadap Orang Asli adalah ia memberitahu mereka seolah-olah, 'Anda tidak berhak ke atas tanah ini, aku boleh membuat apa sahaja yang aku mahu, dan kamu tidak boleh berbuat apa-apa'," kata Colin Nicholas, pengasas Pusat Prihatinan Orang Asli.

"Ketidakpastian berkaitan hak milik tanah mempengaruhi kesihatan mental mereka, kebahagiaan dan banyak lagi."

Dengan harapan rendah untuk mendapatkan perhatian media yang luas dan berterusan, wartawan awam Orang Asli memutuskan untuk mendokumentasikan isu mereka sendiri.

Di sini, salah seorang wartawan awam kampung membelek gambar-gambar yang diambil hari itu semasa memantau sekatan.

Selain pembalakan, mereka juga mendokumentasikan sejarah dan budaya kampung mereka, sebagai persediaan menghadapi perlawanan di mahkamah demi mengesahkan hak milik tanah adat mereka.

Kemusnahan Kritikal

Lebih kurang 370km dari Kampung Ong Jangking menghala ke selatan, dalam pejabat yang berhawa dingin, gambar-gambar wartawan kampung ini nampaknya memeranjatkan seorang profesor, terutama sekali gambar yang menunjukkan keadaan jalan pembalakan.

"Saya pernah ke tapak pembalakan yang lain sebelum ini, tetapi saya tidak pernah lihat keadaan seperti ini," katanya. "Ini sudah tahap kritikal."

Prof. Mohd Hasmadi Ismail pensyarah yang pakar tentang pembalakan hutan di Universiti Putra Malaysia, sebuah universiti kerajaan yang terkenal dengan program perhutanannya. Di hadapannya, pada skrin komputer, terpapar koleksi gambar jalan pembalakan yang melintasi kawasan Kampung Ong Jangking, ditandakan pada peta digital.

Di samping mendokumentasikan sekatan mereka, wartawan kampung juga sering menyelusuri jalan pembalakan dan sungai untuk mengumpul bukti kerosakan alam sekitar.

Bekerjasama dengan mereka, kami menyusun peta digital yang menunjukkan kerosakan alam sekitar yang berlaku akibat kegiatan pembalakan.
Orang Asli dari Kampung Ong Jangking meneliti bahan-bahan yang dihasilkan sepanjang projek ini. Gambar, video dan bukti geospatial yang dikumpulkan Orang Asli menjadi asas kepada laporan ini. Gambar oleh Puah Sze Ning.

Sering kali, gambar dan video menunjukkan tumpahan lumpur dari jalan pembalakan mencemari sungai. Atau tanah runtuh menggelongsor ke jalan pembalakan. Atau jambatan yang mencengkam sungai menjadikannya tidak lebih seperti paya berlumpur.

Kebanyakan sungai-sungai ini mengalir ke Sungai Ong Laba, yang masih tebal dengan mendapan sekitar tiga kilometer di hilir sungai, di mana ia mengalir berdekatan dengan Kampung Ong Jangking.

Di sudut yang Said biasa memancing.

Tidak jauh dari situ, di tempat penduduk menyeberangi sungai untuk ke bandar, gambar menunjukkan air melimpahi tebing sungai ketika hujan, kemungkinan akibat daripada pembalakan di hulu sungai.

Peta digital kesan pembalakan di Kampung Ong Jangking

Baca laporan berita yang diterbitkan dengan kerjasama wartawan Kampung Ong Jangking

"Mendapan dari hulu sungai akan hanyut ke hilir sungai, lalu mencetekkan sungai," kata Prof Hasmadi, sambil melihat gambar. "Jadi apabila hujan lebat, paras air sungai akan meningkat dengan lebih pantas."

Walaupun jarak tapak pembalakan yang dimaksudkan adalah sekitar tiga kilometer dari sini, jarak jalan pembalakan hanyalah satu kilometer dari Kampung Ong Jangking, manakala kayu balak dikumpulkan di bagan balak yang jaraknya hanya 300 meter dari Kampung Sungai Papan, sebuah lagi penempatan Orang Asli.

Kajian telah menunjukkan bahawa jalan pembalakan dan bagan balak sama bahayanya kepada alam sekitar seperti hutan yang ditebang, bahkan mungkin lebih daripada itu. Berat santaiwong dan jentera lain memampatkan tanah dan menjadikannya tidak subur, walaupun kegiatan pembalakan sudah bertahun dihentikan. Penghutanan semula untuk jalan pembalakan juga mengambil masa yang lebih lama berbanding hutan yang telah ditebang.

Kesan jalan pembalakan lain yang terbukti secara saintifik termasuklah peningkatan kejadian tanah runtuh dan pengumpulan mendapan di sungai, yang menyebabkan kualiti air bertambah teruk.

"Tujuh puluh peratus kerosakan alam sekitar yang berpunca daripada kegiatan pembalakan, datang daripada jalan pembalakan – pembinaan jalannya serta penggunaannya oleh jentera berat," kata Prof Hasmadi.
Orang Asli menyeberangi jambatan pembalakan yang mengecilkan sungai hingga hampir tidak kelihatan. Gambar oleh Johari Aluej.

"Kesannya lebih dahsyat apabila jalan pembalakan yang merentasi sungai, atau yang dibina terlalu dekat dengan sungai, melanggar garis panduan," katanya, sambil menyatakan bahawa banyak syarikat pembalakan tidak memberi perhatian secukupnya dalam membina jambatan yang sesuai untuk jalan pembalakan mereka.

"Jalan pembalakan biasanya tidak memberi kesan kepada masyarakat manusia, tetapi apabila ia mempengaruhi hulu sungai, mendapan akan mengalir ke hilir sungai dan ketika itulah masyarakat-masyarakat ini akan terjejas," tambah Prof Hasmadi.

Keuntungan vs Kemanusiaan

Di atas peta, jalan-jalan pembalakan ini kelihatan tidak lebih daripada parut-parut halus di muka bumi, tetapi setiap parut baharu ini membawa perubahan kepada persekitaran, yang bebannya hanya perlu ditanggung oleh Orang Asli.

Inilah sebabnya mengapa hampir semua piawaian pensijilan kayu di seluruh dunia mengkehendaki syarikat pembalakan memastikan kerja mereka tidak menjejaskan hak masyarakat orang asal.
Kampung Ong Jangking, terletak antara hutan-hutan yang memberi nafkah dan identiti kepada komuniti ini. Hutan-hutan ini kini diancam oleh aktiviti pembalakan. Gambar oleh Elroi Yee.

Pensijilan kayu atau balak membantu pembeli mengenalpasti produk-produk balak yang berasal dari hutan yang diuruskan secara lestari. Pembeli lebih cenderung untuk membeli produk yang mendapat pensijilan bagi mengelak daripada sebarang publisiti buruk jika diketahui bahawa mereka memperoleh balak dari rantaian bekalan yang tidak beretika.

Walaupun pensijilan kayu dilihat secara meluas sebagai langkah positif ke arah pengurusan hutan yang lestari, terdapat pengkritik-pengkritik yang curiga dengan keberkesanannya.

Malaysia telah membuat piawaian pensijilan kayu sendiri, di bawah Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Di Semenanjung Malaysia, hutan-hutan di setiap negeri dianggap sebagai satu Unit Pengurusan Hutan (FMU). MTCC menganugerahkan sijil kepada jabatan perhutanan negeri, yang menyelia FMU di negeri masing-masing.

FMU Perak, di mana terletaknya Kampung Ong Jangking, disahkan oleh MTCC, dan oleh itu perlu menepati piawaian pensijilan.

Antara penunjuk lain, termasuklah memastikan kayu yang dikeluarkan tidak "mengancam atau mengurangkan sumber dan hak milik tanah orang asal". MTCC juga mengkehendaki pembalak mendapatkan persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum daripada masyarakat tempatan yang akan terkesan dengan kegiatan pembalakan, dan melaksanakan mekanisme untuk menangani sebarang aduan.

Menurut Orang Asli, mereka telah membantah kegiatan pembalakan ini sejak tahun 2018. Mereka mengeluarkan surat bertarikh Nov 13, 2018 yang dialamatkan kepada MTCC, membantah "pencerobohan pembalakan di kawasan wilayah tanah adat (Orang Asli)".

Pada bulan Julai 2019, mereka menyekat jalan pembalakan sebagai tanda protes.

Meskipun segala bantahan ini sangat jelas, pensijilan MTCC Perak diperbaharui pada Jul 11, 2019, berikutan sebuah audit yang dilakukan dari Feb 18 hingga Feb 23.

Di bawah piawaian MTCC, pensijilan diperbaharui bergantung kepada audit bebas yang dilakukan setiap lima tahun. Di samping audit-audit pensijilan semula ini, audit pengawasan dilakukan setiap tahun. Juruaudit juga dikehendaki menyiasat sebarang kesalahan apabila dilaporkan. Buat masa sekarang, satu-satunya syarikat yang aktif melakukan audit MTCC adalah SIRIM QAS International – sebuah anak syarikat SIRIM Berhad, yang merupakan badan piawaian kebangsaan dan kawalan kualiti di bawah skop Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Difahamkan bahawa penduduk Kampung Ong Jangking telah menghantar bahan bukti yang telah mereka kumpulkan kepada MTCC, SIRIM QAS International, jabatan perhutanan Semenanjung Malaysia, dan jabatan perhutanan negeri Perak dalam surat bertarikh Dis 7.

MTCC, dalam respons e-mel, mengesahkan penerimaan aduan Orang Asli, dan mengatakan tindakan yang diambil oleh jabatan perhutanan negeri akan dinilai oleh juruaudit dalam audit pengawasan akan datang pada awal tahun 2021.

Kami menghubungi jabatan perhutanan negeri untuk mendapat maklum balas, dan mengemukakan bukti yang sama kepada Pengarah Datuk Mohamed Zin Yusop dan Timbalan Pengarah Tuan Haji Ramli Mat pada 1 Dis. Mereka meminta tempoh seminggu untuk menyiasat dengan lebih lanjut.

Pada 8 Dis, jabatan memberi respons mengatakan siasatan mereka mengesahkan sekurang-kurang empat kejadian yang tidak mematuhi peraturan berkenaan jalan dan jambatan pembalakan. Syarikat pembalakan akan dikenakan kompaun bagi setiap kesalahan.
Seorang Orang Asli sedang mendokumentasikan kesan kegiatan pembalakan terhadap alam sekita. Jambatan ini merupakan salah satu daripada beberapa perkara yang telah disahkan oleh jabatan perhutanan negeri sebagai tidak mematuhi peraturan. Gambar oleh Johari Aluej.

Ini umpama satu kemenangan buat wartawan Kampung Ong Jangking, namun perasaannya tetap hambar.

Kadar setiap kompaun difahamkan sebanyak RM1,000 – terlalu rendah bagi syarikat pembalakan. Menurut senarai harga oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, kayu keras bernilai antara RM1,020 hingga RM5,000 setiap tan, bergantung kepada spesis dan kualiti pokok.

Santaiwongs tiga gandar yang digunakan oleh syarikat pembalakan di Kampung Ong Jangking dibenarkan membawa 13 hingga 27 tan bagi setiap muatan, menurut garis panduan jabatan perhutanan.

Keuntungan daripada satu muatan kayu mencukupi untuk membayar saman ini berkali-kali. Ketika kemuncak kegiatan pembalakan, wartawan kampung merekodkan sebanyak tujuh santaiwong bermuatan penuh meninggalkan hutan dalam masa sehari.

Di saat syarikat pembalakan pulang bersama balak, dan keuntungan, Orang Asli dibiarkan hidup dalam landskap yang terjejas, yang bukan sahaja mempengaruhi sumber semulajadi mereka.

"Bagi Orang Asli, apabila hutan mereka dimusnahkan, ia bersamaan dengan gereja atau muzium yang dicabuli orang luar, dan apa yang mereka mampu buat hanyalah melihat," kata Colin Nicholas. Colin adalah pengasas Pusat Prihatinan Orang Asli, yang telah mengkaji dan bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli selama lebih 30 tahun.

"Semestinya, persekitaran terjejas, tetapi kesan yang lebih mendalam terhadap Orang Asli adalah ia memberitahu mereka seolah-olah, 'Anda tidak berhak ke atas tanah ini, aku boleh membuat apa sahaja yang aku mahu, dan kamu tidak boleh berbuat apa-apa.'"Colin Nicholas, Pusat Prihatin Orang Asli.
Johari Aluej, salah seorang wartawan awam Kampung Ong Jangking, meninjau kemusnahan setelah sekatan mereka diruntuhkan sekali lagi. Sejak pembalakan dijalankan kembali pada Julai 2020, wartawan awam seperti Johari telah merakam pencerobohan pembalak ke atas tanah yang dianggap tanah adat mereka. Gambar oleh Puah Sze Ning.

"Ketidaktentuan hak pemilikan tanah dan ketidakberdayaan mereka untuk mempertahankannya, mempengaruhi kesihatan mental, kebahagiaan, autonomi, dan sebagainya."

Kedua-dua belah bukit

Ramli, tok batin muda Kampung Ong Jangking, melihat tanah di bawahnya. Di bahagian bukit ini terletak ladang pak ciknya, baru dibersihkan dan kini membuahkan pelbagai hasil seperti ubi kayu, cili, pokok kari dan tembakau.

Di sebelah lain pula, lokasi yang menjadi tatapan mata Ramli, adalah kawasan pengumpulan balak – sebidang tanah besar yang ditebas hutannya, diratakan tayar lori, di mana longgokan balak disimpan.

Di sinilah santaiwong membawa muatan mereka. Dari sini, lori-lori dengan kapasiti dua kali ganda daripada santaiwong akan membawa kayu-kayu balak itu ke kilang papan.

Dan di sana, pokok-pokok itu akan akhirnya dijadikan produk.

Ramli mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya, sesuatu yang biasa dia lakukan secara konsisten sejak beberapa minggu lalu, merakam kegiatan pembalakan di kampung.
Gambar oleh Elroi Yee

Bersama rakan-rakan, Ramli kelakar orangnya. Tetapi di puncak bukit ini, dia diam. Dari sini, dia dapat mendengar riuh-rendah perbualan pekerja-pekerja, lantang dan yakin, bergema dari bawah.

Tiba-tiba, dia berdiri dan tidak bersembunyi lagi, dan mengambil gambar berkali-kali.

"Mereka kata, 'Kalau dia nak ambil gambar, lantaklah!'," kata Ramli. "Jadi, lantaklah."

Kami hidup macam ini, mereka pula berseronok sesama sendiri."

Dia teguh berdiri, di atas bukit di kala senja, mengambil gambar, mulutnya terkunci rapat tetapi wajahnya menanggung tohmahan baharu ini, di samping pelbagai jenis hinaan yang telah mereka terima sejak bertahun-tahun lamanya.

Bukan pencerobohan sahaja yang berulang di tanah mereka. Ramai Orang Asli juga mengalami pengalaman dibuli di sekolah. Ejek-mengejek, yang masih berlarutan hingga ke hari ini tatkala mengunjungi bandar. Agensi kerajaan yang tidak henti-henti mengatakan bahawa cara hidup mereka, dan agama mereka, sudah ketinggalan zaman.

Dalam dokumen rasmi, kepercayaan animisme mereka sekadar disenaraikan sebagai "Tidak beragama". Lebih teruk lagi, pada tahun 1980-an terdapat dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mengislamkan masyarakat Orang Asli.

Ramli sendiri tidak dapat mengahwini isterinya kerana isterinya didaftarkan sebagai orang Islam, dan Ramli sendiri enggan menukar agama. Di Malaysia, orang bukan Islam tidak boleh mengahwini orang Islam secara sah tanpa memeluk agama Islam.

Jadi, anak-anaknya direkodkan tidak berbapa.

Pada 16 November, keluarganya menyambut kelahiran baru, dan dia masih mencari jalan untuk mendapatkan sijil kelahiran yang mengesahkan beliau sebagai bapa.

Semua penghinaan ini, ibarat tamparan lembut di wajah, lagi dan lagi, dan wajahnya menanggung derita.

Kematian anak perempuannya juga, seolah-olah dianggap sebagai suatu penghinaan.

Kematian dalam keluarga

Kami menerima khabar kematian Jessica pada waktu malam, bulan September 2019. Ia berlaku sebaik sahaja mereka berjaya mengusir pembalak dari tempat mereka, selepas sekatan dibuat tahun lalu. Kami tahu dia sakit, tetapi keadaannya seakan beransur pulih setelah Ramli membawanya ke klinik swasta di bandar. Mereka selalunya tidak mempercayai hospital kerajaan, walaupun rawatannya percuma, dan lebih rela membayar rawatan di tempat lain. Doktor dan jururawat di klinik swasta tidak mencemuh mereka, katanya.

Lagipun, agensi kerajaan sering dilihat berpihak kepada syarikat pembalakan yang menentang Orang Asli.

Namun apabila keadaan Jessica bertambah buruk, Ramli membawanya ke hospital kerajaan di bandar berdekatan. Ketika itulah dia menghubungi kami membawa berita.

Suaranya kedengaran marah, sepertimana kesedihan yang mendalam biasa diluahkan.

"Saya bagitau kamulah," katanya. "Anak perempuan saya dah mati."
Jasad Jessica, anak perempuan tok batin Kampung Ong Jangking dibawa ke tanah pengebumian adat masyarakatnya. Gambar oleh Puah Sze Ning.

Umurnya dua tahun.

Sekitar waktu yang lebih kurang sama, sebilangan kanak-kanak dari kampung itu turut jatuh sakit dengan simptom yang sama - batuk dan demam. Sembilan kanak-kanak lain dimasukkan ke hospital pada minggu-minggu berikutnya, salah seorangnya – anak perempuan Said yang berumur enam tahun – nyaris maut setelah lebih seminggu dirawat di unit rawatan rapi.

Jabatan kesihatan membuat lawatan kecemasan ke kampung itu, dalam cubaan untuk membendung apa yang dikhuatiri sebagai wabak misteri. Hingga satu tahap, mereka memasukkan tujuh orang kampung ke hospital dalam masa yang sama untuk pemerhatian lanjut. Mereka bahkan mengambil sampel air dari sungai untuk dianalisis.

Namun akhirnya, tiada bukti konklusif mengatakan wujudnya suatu wabak. Hasil penemuan daripada sampel kanak-kanak yang dirawat di hospital mendapati ada yang dijangkiti influenza A, influenza B, manakala seorang lagi menghidap leptospirosis. Walaupun begitu, tindakan segera jabatan itu berkemungkinan menghalang daripada berlakunya lebih banyak kematian, kerana mereka yang mengalami gejala ringan juga diberi rawatan.

Sedihnya, penyakit terus menjadi perkara biasa di Kampung Ong Jangking.

Pada bulan September, ketika kegiatan pembalakan rancak dijalankan, ibu Ramli dijangkiti tuberkulosis, dan saat penulisan ini dia masih dalam pemerhatian di fasiliti transit. Seorang lelaki lain pula berhari-hari di rawatan rapi melawan leptospirosis.

Pada bulan November 2020, adik Ramli iaitu Johari dimasukkan ke hospital selama hampir seminggu kerana demam denggi.

Pada Disember 2020, adik perempuan Ramli juga diwadkan di unit rawatan rapi melawan leptospirosis.

Leptospirosis adalah jangkitan bakteria yang sering menular melalui air kencing hidupan liar yang berjangkit, yang mencemarkan sumber air atau genangan air.

Seperti lopak-lopak air yang terbentuk akibat kegiatan pembalakan, dan sepanjang jalan pembalakan.

Banyak kajian saintifik telah mengaitkan lonjakan jumlah jangkitan dengan penebangan hutan, bukan sahaja leptospirosis tetapi penyakit-penyakit zoonotik yang lain, yang dibawa oleh hidupan liar dan serangga yang muncul setelah habitat mereka terganggu.

Beberapa bulan sebelum ini, petugas jabatan kesihatan bimbang akan ancaman penyakit bawaan nyamuk seperti malaria dan demam denggi sehingga mereka mengirimkan kelambu nyamuk ke pelosok kampung.

"Sekarang bila saya pergi ke hutan, nyamuk-nyamuk di sana betul-betul menakutkan, sampai tutup tangan saya," kata Ramli. "Sebelum ini tak macam ini."

Hampir mustahil untuk membuktikan bahawa mana-mana musibah ini – sungai yang rosak, taraf kesihatan yang rendah, ketidakpercayaan terhadap agensi negeri – adalah akibat langsung daripada kegiatan pembalakan, terutamanya di mahkamah di mana syarikat pembalakan mempunyai kelebihan yang jelas dari segi akses kepada birokrasi negeri dan kewangan.

Apa yang mereka sebagai sebuah komuniti boleh lakukan adalah, mengumpul bahan bukti yang memihak kepada mereka, dan menayangkan pada dunia.

Jalan baru yang tiada bezanya

Pada awal September, wartawan kampung menemui dokumen yang menunjukkan sebilangan besar Hutan Simpan Air Chepam telah diluluskan untuk pembalakan sejak tahun 2018.

Dokumen-dokumen tersebut ditunjukkan kepada mereka ketika wakil syarikat pembalakan muncul di kampung untuk memaklumkan berkenaan kegiatan pembalakan yang akan datang. Wartawan kampung mengambil gambar dokumen secara diam-diam.

Konsesi pembalakan ini meliputi sempadan tanah pusaka yang dituntut oleh sekurang-kurangnya tujuh penempatan Orang Asli. Ruang-ruang yang diluluskan untuk salah satu konsesi ini termasuklah tapak penempatan Kampung Ong Jangking.

Sekiranya konsesi pembalakan ini dilanjutkan, kawasan hutan di sekeliling Kampung Ong Jangking akan semakin mengecil. Kualiti hidup mereka – yang sangat bergantung kepada hutan – akan terus merosot.

Akan tetapi, mungkin ada penyelesaian menang-menang: "Jika anda mengiktiraf Orang Asli sebagai pemilik bersama tanah, tanah itu boleh diuruskan secara kolaboratif yang menguntungkan kedua-dua belah pihak," kata Colin Nicholas, memberi tiga contoh di mana wujudnya perjanjian seperti itu dahulu.

Taman Negara Endau-Rompin di Johor pada mulanya mahu mengusir Orang Asli dalam kawasan sempadannya. Tetapi, mahkamah memutuskan bahawa pengusiran itu salah di sisi undang-undang, dan sebaliknya mengesahkan hak pemilikan tanah adat Orang Asli, untuk kawasan yang meliputi kawasan Taman. Sehubungan dengan itu, perintah persetujuan antara pihak terlibat membenarkan Taman itu dikekalkan sebagai kawasan konservasi, dan Orang Asli bersetuju untuk tidak mengusahakan tanah baru dalam sempadan Taman.

Di Pos Belatim dan Pos Balar dua penempatan Orang Asli di negeri Kelantan, mahkamah telah memutuskan, juga melalui perintah persetujuan, bahawa Orang Asli akan diberi hak pemilikan untuk penempatan mereka. Manakala negeri bersetuju untuk mengharamkan pembalakan di sebilangan besar kawasan hutan persekitaran, demi memelihara kawasan tadahan air dan tapak pemburuan Orang Asli.

Kata sepakat dalam kes-kes ini tercapai kerana kesanggupan Orang Asli untuk melepaskan hak pemilikan ke atas kawasan rayau yang lebih luas, dan bersetuju diberikan hak pemilikan hanya untuk tanah-tanah yang telah ditempatkan dan diusahakan. Sebagai ganti, negeri bersetuju untuk melindungi kawasan yang lebih luas di sekeliling mereka daripada pembalakan, dan membenarkan akses berterusan untuk amalan tradisional seperti memburu dan istiadat. Dalam kes Pos Belatim, mahkamah pada awalnya memutuskan 9,361ha untuk diwartakan kepada Orang Asli.

Dalam semua kes ini, Orang Asli harus terlebih dahulu melalui proses mahkamah yang panjang demi mendapatkan hak tanah adat mereka. Di sinilah pentingnya peranan wartawan-wartawan kampung ini.

Catatan dahulu kala untuk masa hadapan

Sejak beberapa bulan lepas, sekumpulan penduduk Kampung Ong Jangking ini sering mengimbau kenangan lama.
Video oleh Elroi Yee.

Bersenjatakan telefon bimbit dan kamera, mereka mendaki ke destinasi masing-masing: salah satunya pokok dilingkari akar yang tersergam indah. Satu lagi adalah pokok buah usang. Manakala yang lain pula, struktur keluli aneh di atas bukit. Kemudian ada juga batu sungai dengan tanda-tanda aneh, dan banyak lagi.

Kawasan yang tidak menarik untuk orang biasa, tetapi kaya dengan kisah tersendiri. Pokok buah usang ini dahulu membekalkan makanan untuk nenek moyang mereka. Struktur keluli aneh ini dikatakan dibina oleh orang British. Batu sungai ini memerangkapkan tangan seorang gadis, menurut kisah dongeng tempatan. Terdapat juga tanah perkuburan lama, yang merupakan bukti arkeologi keturunan mereka di tanah ini, dan juga tempat bersemadinya, mendiang Jessica.

Kisah-kisah inilah yang mengikat masyarakat mereka dengan tanah, sejak dahulu kala. Itulah yang mereka perlu buktikan di mahkamah, untuk diberi hak pemilikan untuk tanah adat mereka.

Mereka juga perlu membuktikan kebergantungan mereka terhadap tanah, bahawa tanah itu ceruk ekologi yang tidak dapat dipisahkan daripada identiti mereka. Mereka perlu membuktikan bahawa masyarakat mereka berbeza dengan populasi arus perdana, dengan adat tradisi mereka sendiri dalam hal pengurusan tanah dan penduduk.

Pada dasarnya, mereka perlu membuktikan peradaban mereka, kepada sebuah birokrasi yang sering sekali menafikannya.

Walaupun ada peguam sukarela yang menasihati mereka berkenaan hal undang-undang, bukti yang menyokong tuntutan mereka perlu datang daripada masyarakat mereka sendiri.

Kini, wartawan-wartawan kampung ini menjadi sejarahwan amatur, mengupas bukan sahaja isu semasa di kampung, bahkan akar umbi sejarah masyarakat mereka, yang jauh terbenam dalam kerak bumi.
Akar udara pohon ara mencantas pohon lain, mengambil bentuknya sambil membunuh pohon yang lain - proses yang memakan masa berdekad-dekad. Dalam gambar ini, Man Ngah Gading, salah seorang warga tua Kampung Ong Jangking, menerangkan bagaimana nenek moyang mereka memanjat pokok untuk memburu tupai dan burung. Video oleh Elroi Yee.

Berbeza dengan sejarah arus perdana, sejarah mereka jarang didokumentasikan. Maka, sejarah lisan yang dikongsikan oleh orang-orang tua turun-temurun menjadi sumber utama mereka.

Jekeh, bapa saudara Ramli, berdiri di hadapan pokok gergasi dan bercerita tentang kisahnya dalam bahasa ibunda. Gaya berceritanya penuh semangat, persis perwatakannya dalam kehidupan seharian.

Kemudian dia menerangkan bagaimana mereka mendapatkan air dari akar udara pokok-pokok tertentu, seperti yang ditunjukkan oleh seorang warga tua yang lain. Akar diangkat tinggi dan air jernih menitik masuk ke dalam mulutnya. Dia menghelakan nafas lega dengan penuh dramatik, menunjukkan betapa segarnya air itu.

Said, generasi yang lebih muda, merekodkan semua ini dalam telefonnya, kemudian menggunakan aplikasi GPS untuk menandakan lokasi, mendigitalkan semua sejarah lisan ini dalam format yang dapat difahami penduduk bandar.

Di sekelilingnya, kanak-kanak Ong Jangking, sebuah lagi generasi yang lebih muda – dengan hiasan kepala dianyam daun, rantai dan gelang manik benih – tekun melihat.
Gambar oleh Puah Sze Ning

Berkat usaha wartawan awam Kampung Ong Jangking inilah, kita semua juga dapat melihat.